Monday, March 16, 2009

MRSM Kekal Cemerlang

MRSM kekalkan pencapaian cemerlang


KUALA LUMPUR 13 Mac – Seramai 277 daripada 7,603 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 berjaya mendapat gred 1A dalam semua subjek yang diambil.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Nam Marthinin berkata, pencapaian itu menunjukkan keputusan yang lebih baik berbanding 150 orang pada tahun sebelumnya iaitu penambahan sebanyak 1.43 peratus.

Menurutnya, secara keseluruhan MRSM masih mengekalkan kecemerlangannya dalam peperiksaan tersebut.

‘‘Seramai 1,079 pelajar atau 14.19 peratus mendapat A iaitu sama ada 1A atau 2A bagi semua subjek dan menunjukkan peningkatan berbanding 979 orang pada tahun 2007.

‘‘Sebanyak 12 subjek mencatatkan peningkatan dalam pencapaian Gred Purata Subjek (GPS) dan beberapa buah MRSM memperolehi 100 peratus pencapaian dalam gred A,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, lima daripada 34 buah MRSM telah berjaya mendapat Gred Purata Maktab (GPM) kurang daripada 2.0.

‘‘Jumlah keseluruhan GPM yang berjaya dicapai MRSM ialah 2.2343 berbanding dengan 2.1578 pada tahun 2007 dengan peningkatan sebanyak 0.0765.

‘‘MRSM Langkawi mencatatkan GPM yang terbaik iaitu 1.4041 diikuti MRSM Taiping (1.5391), MRSM Pengkalan Chepa (1.5439), MRSM Tun Ghafar Baba (1.6865) dan MRSM Alor Gajah (1.9326),’’ katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 26 buah MRSM lain mencapai sasaran yang telah ditetapkan iaitu mendapat GPM di bawah 2.50 sekali gus menyamai pencapaian tahun 2007.

No comments: