Assalammualaikum..
Harapan saya semua berada dalam keadaan terbaik terutamanya keluarga tercinta,kaum kerabat, jiran-jiran tetangga yang tidak dilupakan, sahabat handai di mana jua anda berada, rakan seperjuangan di bumi anbia ,Perlembahan Nil Mesir, seterusnya Muslim di seantero dunia.
Menyorot kembali peristiwa-peristiwa penting dan menarik sepanjang bulan November, kita menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan PCM yang sebelumnya didahului dengan sesi pencalonan dan pengundian.Sebagaimana anda sedia maklum beberapa kontroversi yang membina, meneguh dan mengemaskinikan kembali PCM dan Jawantankuasa Pemilihan Cawangan (JPC) khususnya telah berlaku. Ada mulut-mulut galak berbicara bahawa PCM dilanda taufan, Mansurah dilanda tsunami dan sebagainya. Ermm..apa yang boleh saya katakan, mulut manusia tidak boleh dibendung. tapi ingat sebab mulut badan binasa, juga boleh membinasakan ukhwah yang telah sekian lama terbentuk dengan ikatan Islam dan Iman . Saya bersyukur semua berakhir dengan penuh profesional, harmoni dan penuh hormat antara pihak-pihak yang terlibat. Inilah semangat berpersatuan yang kita mahukan. Penuh dengan keharmonian dan kesederhanaan. Bersederhana dalam semua perkara adalah baik.
Sesudah tamatnya pemilihan pucuk pimpinan kita didatangi dengan acara yang lebih besar iaitu Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Ke 3 bagi Perubatan Cawangan Mansurah. Di medan ini kita menyaksikan usul-usul yang direncanakan untuk memperkuatkan lagi PCM dan secara langsung memberikan tanda aras dan hala tuju baru ke mana kapal ini harus berlayar di bawah pimpinan nakhoda yang baharu. Perbezaan pendapat itu adalah perkara biasa bagi kita sebagai pelajar berminda kelas pertama. Jangan sesekali menghukum seseorang dengan hanya kerana mereka berlainan pendapat dengan kita. Pada pendapat saya menghukum dan menjauhi mereka adalah salah sama sekali . Sepatutnya kita meraikan pendapat itu sekiranya tidak melewati prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Al-Quran. Sedangkan para sahabat Rasulullah pun berbeza pendapat dengan baginda, inikan kita insan biasa. Saya tidaklah ingin menjadikan keadaan itu sebagai alasan. Apa yang saya ingin sampaikan adalah apa mekanisme kita dalam mencari titik persilangan antara perbedaan pendapat ini tanpa mengeruhkan kesatuan yang harmoni ini. Kita sepatutnya mengambil peluang di sebalik perbedaan pemikiran dan pendapat membentuk jalinan atau warna yang lebih harmoni dan cantik dalam konteks kesatuan. Fikir-fikirlah kamu wahai insan yang berfikiran.
Saya sangat berminat untuk memberi pendapat tatkala kita berbicarakan soal amanah, tanggungjawab, tugas dan janji. Bagi saya semua insan yang berfikiran boleh bercakap tentang perkara tersebut. Tetapi bercakap memanglah senang, nak mengerjakannya amatlah susah. Tidak semestinya dengan ilmu agama yang tinggi anda akan menjalankan amanah dengan baik begitu juga dengan insan-insan yang 'moderate'. Pada perhatian saya terhadap rakan-rakan di sekeliling saya, mereka kurang mengaplikasikan apa yang mereka pelajari khususnya ilmu agama dalam menjalani kehidupan seharian. Bercakap melangkaui tindakan ini adalah satu masalah. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah. Tatkala inilah teguran dan nasihat amat memainkan peranan. Usah risaukan status anda, selagi anda berfikiran waras berilah nasihat yang bernas. InsyaAllah akan membuka mata-mata sesetengah pihak yang kian kuyu.
Bicara manis menghiris kalbu. Tajuk lagu Siti Nurhaliza. Dalam maksud tajuk lagu ini. Kita ambil yang positif. Apa yang dapat anda fikirkan? Selalunya bicara manis ni berkaitan dengan janji. Janji hendak laksanakan itu dan ini dan akhirnya tidak dapat melaksankannya dan menghiris hati-hati insan yang berkeperluan. Itulah apa yang dapat saya perhatikan sepanjang MTC Ke 3 berlangsung. Ramai yang memberikan janji-janji mereka tanpa mereka sedar bahawa janji itu adalah satu amanah sementelah apabila janji itu berkaitan dengan perlaksanaan prinsip-prinsip Islam dalam gerak kerja berpersatuan ataupun beragensi. Saya memandang berat perkara ini. Janji tetap janji. Jangan biar janji memakan diri hingga mencetuskan gegaran terhadap kesatuan yang harmoni ini.
Berpesan pada diri dan anda sekalian, berpeganglah kepada janji-janji anda. Laksanakan apa yang telah direncana. Berkorbanlah meskipun sekelumit cuma untuk perjuangan persatuan ini biarpun bukan sekelumit itu harapan semua.
Saya suka untuk berkongsi ucapan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz b. Nik Mat ini. Maknanya amat mendalam dan bersesuaian dengan mereka yang terlibat dengan jentera perlaksanaan khususnya dan jentera penggerak amnya (meskipun persatuan, jemaah atau agensi).
Ketepikanlah seketika fahaman dan perbedaan politik anda dan renungilah warkah ucapan seorang ulama' ini .Semoga yang baik dijadikan tauladan dan diamalkan.Jauhilah perkara-perkara yang memudaratkan.
Sekian untuk kali ini. Wassalam
JADILAH KULI ALLAH, BUKAN KULI SYAITAN
”Jangan jadi kuli kecuali menjadi kuli Tuhan. Jangan makan gaji selain makan gaji dengan Tuhan. Sebagaimana kita bila makan gaji - dengan orang ke, dengan kerajaan ke, dengan kompeni ke, dengan orang kampung ke - tentulah kita kena buat mengikut apa yang majikan kita hendak walaupun kita sendiri berasa payah, berasa lambat kalau ikut kehendak majikan kita. Tetapi kerana, kita makan gaji, kita kena buat serupa dengan tuan kita hendak. Kita dengan Tuhan kena lagu itu juga. Bila Tuhan kata Aku hendak kamu buat lagu ini - payah ke, susah ke, terkepit ke, sakit ke kamu kena buat juga sebab kamu makan gaji dengan Aku. Kalau kamu ticlak hendak makan gaji dengan Tuhan, kamu hendak makan gaji dengan siapa lagi? Sudah pasti kamu makan gaji dengan syaitan. Tidak ada sebab kita hendak makan gaji dengan syaitan kerana syaitan tidak buat kita, syaitan tidak buat bumi tempat kita berpijak, tidak buat langit tempat kita junjung, tidak buat udara untuk kita bernyawa, tidak buat sedikit apapun. Jadi tidak ada sebab kita hendak makan gaji selain dengan Allah taala”
”Makan gaji dengan manusia dia bayar dengan duit tetapi makan gaji dengan Tuhan dia bayar dengan syurga, bila mati baru boleh terima gaji. Sebab itulah kita bersembahyang, kita berpuasa, kita bersedekah, kita mengajar, kita mengaji walaupun kadang-kadang benda-benda ini dirasakan serabut dan menyusahkan. Mengapa menyusahkan diri dengan sembahyang, padahalnya yang tidak sembahyang ramai yang boleh hidup? Jawabnya, oleh kerana aku makan gaji dengan Tuhan, aku kena turut kehendak Tuhan”
Sumber - Institut Pemikiran Nik Abdul Aziz
No comments:
Post a Comment