PUTRAJAYA 11 Mac – Gladys Tan Yee Kim dari Sekolah Menengah Kebangsaan Green Road, Kuching, Sarawak yang mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 hari ini diumumkan sebagai pelajar terbaik, manakala Sekolah Menengah Sains Seremban, Negeri Sembilan pula muncul sebagai sekolah terbaik. - UTUSAN MELOYA
PUTRAJAYA: Seramai 364,046 calon lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding 347,443 pada 2008 dengan 199,155 calon atau 49.6 peratus lulus semua mata pelajaran berbanding 181,419 (47.4 peratus) sebelum itu. Keputusan keseluruhan SPM 2009 peringkat kebangsaan itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi.
Manakala, seramai 7,987 calon berjaya mendapat gred cemerlang (A+, A atau A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 berbanding 6,277 pada tahun sebelumnya. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata, daripada jumlah itu, seramai 214 calon sekolah Kementerian Pelajaran berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.
Menurut beliau, seramai 41 orang merupakan calon persendirian, sekolah swasta dan sekolah-sekolah tajaan agensi selain kementerian.
Kedudukan MRSM 10 Terbaik Seluruh Malaysia:-
1. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak
2. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka
3. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan
4. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka
5. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu, Perak
6. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak, Perak
7. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu, Selangor
8. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, Kedah
9. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, Johor
10. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Lipis, Pahang
Ranking MRSM Seluruh Malaysia Mengikut Gred Purata Maktab (GPM)
*****
Alhamdulillah..Tahniah kepada MRSM Taiping (Maresmartian) khususnya pelajar-pelajar 08/09 kerana berjaya menempatkan MRSM Taiping ke persada NO. 1 antara MRSM Se- Malaysia setelah 5 tahun mencuba dengan Gred Purata Maktab(GPM) 1.1052. SPM 2005, MRSM Taiping dikecewakan oleh batch saya (04/05), kami hanya mampu berada pada kelompok kedua MRSM Se-Malaysia dan sekolah terbaik Malaysia berada dibelakang MRSM Jasin (kini MRSM Tun Ghafar Baba) setelah mengungguli keempat-empat keputusan peperiksaan semester MRSM Se-Malaysia. Ada suara-suara sumbang mengatakan bahawa MRSM Jasin berada ditempat pertama kerana MRSM tersebut tidak mewajibkan subjek EST,subjek yang mencacatkan keputusan kebanyakan pelajar MRSM bahkan sekolah lain. Kita lupakan kisah lalu buka lembaran baru. Kini tahun 2010, masih terngiang-ngiang bisikan motivasi daripada Bonda Pengetua saya, Puan Shaariah Dahaman pada setiap kali perhimpunan. Bisikan yang mampu menaikkan semangat pelajar-pelajar yang kian hilang arah dan kudrat. Syukur ke hadrat ilahi dan selautan terima kasih kepada Bonda kerna telah menyinambungi perjalanan ini. Wawasan MRSM Taiping. Kerna Bonda daku disini. amin.
The Number is ONE , The Alphabet is A.
Mrs Shaariah binti Dahaman
Former Principal of MRSM Taiping (2003-2006)
Bagi SM Sains Seremban (SASER), tahun ini merupakan tahun ke-6 mereka mengungguli kedudukan teratas SBP sejak tahun 2006. SASER turut dinobat sebagai sekolah terbaik Malaysia dengan purata nilaian gred (PNG - mengikut cara pengiraan baru) 0.97 dengan 138 pelajarnya memperoleh semua A. Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga SASER.
PNG SPM 2009 (SASER) Mengikut Subjek
SUBJEK
PNG
Bahasa Melayu
0.72
Bahasa Inggeris
1.25
Matematik
0.22
Pendidikan Islam
0.60
Pendidikan Moral
0.44
Sejarah
0.63
Fizik
1.33
Kimia
0.94
Biologi
1.90
Matematik Tambahan
1.06
EST
1.68
p/s : Untuk pengetahuan semua, pemberat bagi A+ ialah 0. Oleh itu, semakin hampir PNG kepada 0 bermaksud semakin baik pencapaian.
Meskipun hampir keseluruhan sekolah yang mencuri tempat teratas bukan merupakan Sekolah Kluster atau Sekolah Berprestasi Tinggi (saya kurang setuju dengan senarai sekolah yang terpilih), namun anda berjaya menjulang ke persada. Ini membuktikan kejayaan sesuatu sekolah bukanlah terletak kepada nama, tetapi terletak kepada nilai-nilai modal insan berkualiti (tenaga pengajar dan pelajar) yang terhimpun didalamnya.
Saya percaya terdapat sesetengah pihak membandingkan SBP dan MRSM. Jujur saya katakan perbezaan bilangan pelajar mempengaruhi keputusan SPM MRSM-MRSM yang ada. Bilangan pelajar di MRSM besar, mencapai dan melebihi 300 orang pelajar. Jadi janganlah kita banding-bandingkan kerna kita sudah tahu yang mana yang terbaik.
Akhir kalam, saya doakan moga semua pelajar yang cemerlang mahupun sedang berupaya menapak mendaki ke puncak dapat melipatgandakan keringat anda kerna perjalanan anda masih jauh. Cemerlang gandakan usaha, Gagal bukan berakhir sebuah impian, kerna SPM merupakan satu permulaan. Daya Usaha Ikhtiar Tawakkal = Kejayaan.
WINNER is not who never FAILS, but the one who never QUIT.
KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Wanita pertama yang dilantik menganggotai jemaah menteri Malaysia, Tun Dr Fatimah Hashim, 85, meninggal dunia di rumahnya pada 11.35 malam hari Sabtu kerana sakit tua.
Anak beliau, Abdul Karim Abdul Kadir berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Zuhur pada Ahad di Masjid Negara iaitu bersebelahan pusara suaminya, Tan Sri Abdul Kadir Yusoff iaitu bekas Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang.
"Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Masjid Negara selepas menerima kebenaran daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada Bernama.
Allahyarham meninggalkan 6 anak.
Allahyarham dilahirkan di Kampung Parit Kurma, Muar, Johor pada 25 Dis 1924 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Perempuan Mersing, Johor sebelum memulakan kerjaya sebagai guru.
Allahyarham Fatimah yang dilantik sebagai Menteri Kebajikan pada 20 Mei 1969 hingga 1 Mac 1973, memasuki arena politik pada 1947 dan pernah memegang jawatan Ketua Pergerakan Kaum Ibu Umno yang kini dikenali sebagai Wanita Umno pada 11 Sept 1956 hingga Jun 1972.
Allahyarham juga pernah menyandang jawatan naib presiden Umno sebanyak tiga penggal mulai 1963 hingga 1967.
Pada 19 Ogos tahun lepas, Allahyarham dipilih sebagai seorang daripada empat rakyat Malaysia yang terkemuka dan cemerlang untuk menerima Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti.
Pelajar-pelajar Sekolah Seri Puteri gembira bersama slip keputusan PMR masing-masing - Foto BERNAMA
SEBAHAGIAN pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi gembira kerana sekolah mereka terpilih sebagai Sekolah Menengah Harian Terbaik seluruh Malaysia.
Tahun ini dikatakan markah untuk calon PMR mendapat A dalam matapelajaran Sains sangat rendah, sekitar 58%. Ada sesiapa yang boleh memberikan kepastian? Okey……..seperti biasa keputusan peperiksaan PMR 2009 mencatatkan peningkatan yang mana seramai 28,188 pelajar memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun ini berbanding 26,378 pada tahun lepas. Mari kita semak sekolah-sekolah terbaik & cemerlang di Malaysia bagi result PMR 2009 lalu.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya. Calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008 manakala 87,936 pelajar melepasi tahap minimum (A,B,C,D) berbanding 88,565 tahun sebelumnya.
“Pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lepas,” katanya. Alimuddin berkata prestasi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi menurun sedikit menurun. “Peratusan berbanding tahun lepas untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 peratus kepada 25.6 peratus tahun ini, BI pula menurun daripada 16.4 peratus kepada 16.1,” katanya.
Terdapat peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam bilangan pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik manakala bagi mata pelajaran Sains ia naik daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus. Berita Harian
Adakah pelajar istimewa salah satu halangan berjaya dalam peperiksaan PMR 2009 lalu? Oh tidak sama sekali. Insan-insan di bawah ini telah membuktikannya. Tahniah diucapkan kepada mereka. Mereka ini adalah sebahagian daripada tujuh orang pelajar istimewa yang mendapat Semua A.
Pelajar Istimewa Cemerlang dalam PMR 2009
Siti Raihan Abdul Nasir(9A) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad Kuala Nerang, Kedah – masalah rabun
Debbie Lim Huey Chin(8A) dari SMK Sultan Ismail – masalah rabun
Muhammad Azfar Firdaus Azlah(8A) dari SMK Dato Penggawa Barat di Johor Bahru – masalah rabun
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua dari kiri) berkenan melihat pingat anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 Hijrah yang diperoleh Pengerusi Kumpulan FELDA, Tan Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor (kanan) selepas menyampaikan anugerah itu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 Hijrah di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Kuala Lumpur, semalam.
Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi (kiri) juga merupakan penerima anugerah itu. Turut kelihatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.
Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan. – BERNAMA
"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa." Pak Samad
Assalammualaikum..
Mungkin entry kali ini agak terlambat..berkenaan isu nasional ..Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI).. Makluman semua..saya pelajar yg digarap hasil sistem pembelajaran sebelum terpakainya sistem PPSMI.. segala agak sempurna bagi saya. meskipun banyak penambahbaikan diperlukan untuk sistem pembelajaran pada ketika itu..namun saya bersyukur..sistem pembelajaran yg ada , yakni yang saya dan angkatan yg lain guna pakai adalah bersesuaian dengan semua pelajar..maksud saya secara majoriti nya..mengambil kira beberapa faktor iaitu kependudukkan pelajar tersebut, sistem penyampaian, teknologi maklumat, kebolehan majoriti pelajar untuk menguasai bahasa itu sendiri, juga kebolehan guru (secara majoriti) sebagai medium pengantar dan penyampaian yg berkesan dan faktor2 sampingan yg lain.
Semua faktor itu hendaklah diambil kira bg menganalisa pencapaian sesuatu sistem pembelajaran dan dalam konteks ini , PPSMI..Umum amat maklum khususnya pelajar itu sendiri bahawa sistem ini hampir meletakkan mereka terkebelakang (secara majoritinya) khususnya pelajar luar bandar bagi subjek Sains dan Matematik. Maaf sy tidak dapat postkan bersama hasil kajian para ilmuan terbilang negara..saya percaya anda dapt mencari hasil2 kajian tersebut di internet..saya akan postkan di lain waktu..
Pada pendapat saya, asas/basic sesebuah subjek atau ilmu amat penting bg meneruskan kesinambungan yg cemerlang dan gemilang.. Sebagai analogi, sebuah bangunan tanpa tapak asas atau base yg kukuh untuk menampung beban bangunan tersebut tentu akan menyebabkan bangunan tersebut..jadi, dalam konteks PPSMI, sistem ini telah diaplikasikan kepada pelajar seawal darjah 1 hingga tingkatan 6.. Asas untuk mencapai kecemerlangan dalam UPSR sudah tentu seawal darjah 1 dan asas untuk cemerlang dalam PMR dan SPM sudah tentu seawal tingkatan 1 ditambah dengan asas ketika di sekolah rendah.. Tidak cemerlang tdk semestiya tdk berilmu.. Namun untuk meningkatkan modal2 insan yg memberi manfaat yg positif kepada negara memerlukan insan2 yg tinggi akademiknya..
Bagaimanakah PPSMI meruntuhkan proses pembinaan nilai modal2 insan yg berakademik tinggi ini??
Bilangan pelajar adalah terdiri daripada mereka yg tinggal di bandar luar bandar dan pedalaman. Menurut kajian pelajar luar bandar serta pedalaman memiliki asas bahasa Inggeris yg rendah bermaksud tidak mahir atau pandai Bahasa Inggeris/B.I. Begitu juga di kawasan bandar sebilangan besar pelajar khususnya pelajar Melayu kurang mahir bahasa Inggeris. Oleh itu, bagaimanakah pelajar yg demikian rupa dapat menguasai Matematik dan Sains dalam B.I secara mendalam seterusnya menguasai asas pembelajaran kedua-dua subjek tersebut meskipun perkataan B.I yg digunakan adalah perkataan yg dikatakan mudah tambahan lagi dengan sistem penyampaian oleh guru2 yg kurang mahir menggunakan B.I dan lebih suka mengguna BM sebagai bahasa pengantar?? .. saya percaya tidak ramai pelajar yg akan bertanya akan apa yg mereka kurang fahami ( ini juga salah satu tabiat pelajar). Jadi lama kelamaan asas subjek tersebut akan makin pudar dan seterusnya akan menyebabkan pelajar tersebut gagal dalam menguasai konsep2 penting dalam kedua2 subjek tersebut..ini satu kerugian besar bagi mereka..masalah ini makin mudarat apabila pelajar tersebut ke peringkat yg lebih tinggi !!
Amati petikan ucapan dibawah ini ~
'Nak pandai belajar solat dan haji pun kita tak belajar dalam bahasa arab tetapi kita belajar dalam bahasa Melayu, bila sudah mendalam dan ke depan barulah kita belajar dengan medium bahasa Arab.'' - Ustaz Abdul Hadi Awang.
Saya tertarik dengan ucapan di atas, namun saya bukanlah berfikiran sempit tidak mahu menerima langsung sistem ini.. Ada baiknya sistem ini dilaksanakan namun keburukannya melebihi kebaikannya..jadi baiklah kita pilih yg lebih banyak mendatangkan kebaikan daripada keburukan..saya percaya golongan2 akademik telah menjalankan kajian terperinci jadi percayalah mereka..
" Kadang2 kita merancang menderap seribu langkah ke hadapan , namun kita tidak sedar kita sebenarnya sejuta langkah mengundur ke belakang ''
Muhasabah Diri, Fikir dan Renungkanlah
Berikut adalah Petikan daripada Blog Faisal Tehrani..
Foto Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said setelah disembur gas pemedih mata. "Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa." Pak Samad adalah SN paling popular tindakan pihak berkuasa ini adalah amat tidak popular (semoga Pak Samad panjang usia dan sihat selalu). Media seperti TV3 yang memutar belitkan isu akan menjadikan kalian bertambah tidak popular.
Oleh kerana itu ulasan Perdana Menteri petang tadi, "Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti tekanan-tekanan dan tindakan-tindakan NGO akan berterusan dan akan menjadi isu yang lebih besar." - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Betul Pak Lah, dan Datuk Seri Najib bersegeralah! Kerana foto Pak Samad disembur gas pemedih mata ini akan menghantui tuan-tuan, dan akan menjadi simbol perjuangan bahasa dan sastera untuk satu tempoh yang lama.
Wajah-wajah pejuang bahasa antaranya Profesor Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mohamad.
Bukan 5 ribu, bukan 10 ribu; tetapi seratus ribu!
Tembakan gas pemedih mata tidak jauh dari Istana Negara.
Huru-hara di bawah jejantas tidak jauh dari pintu belakang Istana Negara.
Lagi serangan gas pemedih mata di persimpangan Jalan Syed Putra.
Pak Samad dalam baju melayu merah jambu pun digasak polis, mengapa? Apakah kepentingan dari segi material (peralatan pengajaran dan pembelajaran sains matematik dalam bahasa Inggeris mungkin?) menyebabkan suara nurani rakyat ini ditindas begini?
Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam keadaan mata pedih berucap memberitahu Datuk Dr Hassan Ahmad dan Datuk A. Samad Said telah berjaya menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negara. Kata Ustaz Abdul Hadi lagi, 'Nak pandai belajar solat dan haji pun kita tak belajar dalam bahasa arab tetapi kita belajar dalam bahasa Melayu, bila sudah mendalam dan ke depan barulah kita belajar dengan medium bahasa Arab.'
Dr Syed Azman sempat memeluk saya, "Anak muridku. Saya baru balik dari Tehran, teringatkan awak di sana."
Saya mengusik Cikgu Azizi, "Wah cikgu, tak dapat jadi Sasterawan Negaralah dah sertai perarakan lawan kerajaan."
Usaha anak muda ini amat saya hargai, nah Allahyarham Usman Awang kami tidak bisu dan kami telah menyahut seruan bahasa kita!
Ulasan: Lebih seratus ribu pencinta dan pejuang bahasa berarak dari Masjid Negara, Sogo dan Pasar Seni ke Istana Negara telah dikasari dengan begitu teruk termasuk ditembak dengan gas pemedih mata dan air. Tidak terkecuali ditembak gas pemedih mata ialah pejuang bahasa Puan Ainon Mohamad, Profesor Dr Abdullah Hassan, saudara Hasni Abbas, cikgu Aziz Haji Abdullah, dan pengarang (disunting), Z*** (disunting).
Saya sendiri turut menelan gas pemedih mata pertama kali tidak jauh dari Saudara Y.B Salehuddin Ayub, kali kedua di Jalan Masjid Attap dan kali ketiga ketika polis bertindak ganas menyerang pejuang bahasa di Masjid Negara yang cuba berlindung di dalam masjid.
Lebih mengejutkan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said berusia 76 tahun turut digasak gas pemedih mata sebanyak tiga kali.
Saya tidak faham mengapa pihak berkuasa tidak boleh berlapang dada dengan memudahkan perarakan. Pihak GMP telah bertegas ini bukan tunjuk perasaan tetapi tunjuk kasih; namun penguasa tetap penguasa dan tidak pernah faham nurani rakyat.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pendokong, ahli dan pemimpin PAS kerana memberikan platform kepada pejuang bahasa. Kredit tetap kredit meski polisi PAS bersekongkol dengan PKR amat saya tidak berkenan. GMP terpaksa menggunakan pentas politik kerana ruang yang ada telah ditutup. GAPENA yang diketahui merupakan jentera senyap pemerintah pun mengugut untuk menyaman kerajaan. Saya bangga dengan sahabat saya * (terpaksa disunting) yang datang dari jauh. Saya juga bangga dengan Datuk A. Samad Said, guru saya dengan suara rendah memberitahu saya, "Bapak diserang gas tiga kali dan dikasari."
Lebih membanggakan dalam perjalanan pulang, Sasterawan Negara Dato Shahnon Ahmad menelefon saya memesan, "Beritahu Samad Said, Cikgu bersama dengannya cuma Cikgu tak dapat hadir kerana uzur."
Oleh Faisal Tehrani melalui Blognya - http://tehranifaisal.blogspot.com
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban pada pukul 11.45 pagi semalam. Baginda berusia 86 tahun.
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban pada pukul 11.45 pagi semalam. Baginda berusia 86 tahun.
Jenazah Almarhum baginda ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan esok selepas solat Asar. Pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru akan diumumkan esok sebelum jenazah Almarhum Tuanku Ja’afar disemadikan di makam diraja Seri Menanti.
Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba saja ‘Aku Bukan Musuh Harta’, lagu dari nukilan puisi Dr Asri Zainul Abidin yang juga bekas Mufti Perlis tidak mendapat kelulusan dari pihak RTM untuk siaran.
Hal ini telah dimaklumkan oleh pihak pegawai perhubungan RTM kepada penerbit album Xifu Nasir semalam.
Lagu ‘Aku Bukan Musuh Harta’ yang dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa difahamkan tidak mendapat kelulusan kerana liriknya.
Xifu berkata, beliau sendiri tidak diberitahu secara khusus dan terperinci kenapa lagu itu tidak lulus.
“Mereka cuma memberitahu kerana masalah lirik sahaja,”jelas Xifu Nasir.
Menurut beliau, hanya stesen RTM saja yang tidak meluluskan lagu ini sedangkan di stesen lain sudahpun mendapat kelulusan sepenuhnya.
Lagu ini merupakan salah satu dari 8 buah lagu puisi Dr Asri yang dimuatkan di dalam album ‘Yang Benar Tetap Benar.’
Selain lagu ‘Aku Bukan Musuh Harta’, lagu title track ‘Yang Benar Tetap Benar’ juga masih belum lulus sepenuhnya kerana akan disemak semula disebabkan ahli panel tidak berapa arif tentang perkataan ‘makar’ yang digunakan dalam puisi tersebut.(’Makar’ adalah kalimah Arab dari Al Quran).
Ketika dihubungi hari ini, Dr Asri melahirkan rasa kemusykilannya kenapa liriknya digam.
“Saya hairan mengapa lirik saya ‘Aku Bukan Musuh Harta’ digam oleh pihak berkenaan, sedangkan nilai moral dalamnya tinggi, ia tidak ditujukan kepada pihak tertentu, tetapi untuk sesiapa sahaja yang menyalahgunakan harta rakyat dan awam,” jelas beliau dari kediamannya di Lampeter, United Kingdom.
“Dalam negara kita hari ini berbagai parti memiliki kerajaan, lagu tersebut mempunyai pengajaran untuk semua.
“Jangan anda menghalang sesuatu ungkapan umum atau pengajaran am yang akhirnya orang lain akan menuduh bahawa andalah orang khusus dari yang umum atau am itu,” kata Dr Asri yang kini berada di UK untuk tempoh setahun bagi cuti sabatikalnya.
Katanya lagi,”Saya menulis lirik itu untuk mengingatkan sesiapa sahaja yang berurusan dengan harta awam dan rakyat. Apa ertinya perjuangan kerajaan menghapuskan rasuah jika lirik seperti itu pun diharamkan.”
Dr Asri, bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut tentang kesukaran pihak panel RTM memahami perkataan ‘makar’ di dalam puisi beliau yang bertajuk ‘Yang Benar Tetap Benar’ itu.
“Semua pihak tahu bahawa saya bukan orang politik, maka ketika saya menulis lirik saya bebas dari kepentingan kerusi atau kepartian. Mereka silap jika bertindak demikian,” kata tokoh agama yang terkenal kerana kelantangannya melontarkan idea tentang apa saja berhubung isu agama, politik, sosial mahupun hiburan.
Lagu-lagu puisi lain yang dimuatkan dalam album yang sudahpun berada di pasaran sejak bulan lepas itu ialah Aku Rela, Biarlah Aku Di Daerah Ini, Derita Hati Seorang Bonda, Islam Di Cina dan Dunia Yang Beredar.
Kesemua lagu telah disampaikan oleh penyanyi Aishah, Kopratasa, Dakmie dan band nasyid pertama di Malaysia iaitu Algebra.
Selain 8 buah lagu ini, album ini juga turut memuatkan puisi yang disampaikan oleh Dr Asri bertajuk, ‘Itulah Politik Namanya’ dan ‘Salah Menduga.’
Gabungan nama-nama besar dalam industri muzik antaranya Dakmie selaku Penerbit, Xifu Nasir, Eddie Marzuki, Adnan Abu Hasan, Zairi Ariffin, Ujang dan lain-lain menjadikan album ini cukup istimewa dan unik.
Album ini juga adalah terbitan dan edaran Nasyeed.Com.
Kadar pengangguran tahun depan mungkin meningkat kepada 4.5 peratus berbanding kira-kira 3.5 peratus tahun ini akibat kelembapan ekonomi dunia sekarang, demikian analisis Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Pengarah eksekutifnya Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, dalam suku ketiga tahun ini, rakyat Malaysia yang menganggur berjumlah 12,000 orang.
"Bilangan penganggur semakin meningkat. Kita perlu mengawasinya dengan teliti," katanya dalam ucaptamanya pada majlis dialog dengan Profesor Robert Engle, yang memenangi Hadiah Nobel bagi ekonomi pada 2003.
Menurut Bernama, Mohamed Ariff berkata kadar 4.5 peratus dianggap tinggi bagi Malaysia.
"Tinggi sebab kita biasa dengan kadar 2.2 dan 2.5 peratus tetapi jika dibandingkan dengan Eropah, Jepun dan Amerika Utara, 4.5 peratus amat rendah," katanya.
Mohamed Ariff berkata industri pembuatan dijangka paling teruk terjejas oleh kelembapan ekonomi ini.
"Kita rasa sektor elektrik dan elektronik khususnya, amat mudah terjejas.
"Barangkali sokongan utama bagi ekonomi adalah daripada sektor perkhidmatan. Ia bakal menjadi jentera pertumbuhan, dan membantu kita mengelakkan kemelesetan sebenar tahun depan," beliau dipetik berkata.
Menurut Mohamed Ariff lagi, Malaysia berdepan kemungkinan 40 peratus terjerumus dalam kancah kemelesetan teknikal tahun depan dan 30 peratus kemungkinan dilanda kemelesetan sebenar.
"Tetapi ini di bawah 50 peratus. Ia sekarang bergantung kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan," katanya, sambil menambah bahawa lebih banyak langkah harus diambil untuk mengharungi krisis kewangan sekarang.
Pada majlis dialog itu, Engle berkata Malaysia mungkin menghadapi tempoh yang sukar seperti juga ekonomi-ekonomi lain di Asia, lapor agensi berita itu lagi.
"Kita harap China akan dapat bertahan. Jika China juga bergelut (dengan krisis ekonomi semasa), ekonomi-ekonomi lain di Asia turut akan berdepan dengan tempoh yang sukar," tegasnya.
Dr Asri: Saya tidak dibayar gaji untuk jadi pengampu!
S.S Dr. Mohd Asri B. Zainul Abidin
MENITI hari-hari terakhirnya sebagai Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bercakap tentang jawatan yang akan dilepaskannya beberapa hari lagi, cadangan beliau tentang mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang beliau anggap wajar disiarkan pada orang ramai, keberkesanan peranan JAKIM dan Mufti-mufti dari negeri lain dan membetulkan pendapat songsang yang mengaitkan beliau sebagai penyokong Umno dan penentang pembangkang.
"Saya bukan pengampu dan saya tidak dibayar gaji untuk mengampu dan ini tidak seharusnya terjadi," komen Dr Asri bila ditanya kenapa beliau lantang mengkritik pihak pemerintah mahupun pembangkang.
Kesemua pandangan beliau, bersifat neutral dan tidak memihak pada mana-mana parti politik walaupun ramai yang tersalah anggap.
Setiapkali beliau berhujah dan melontarkan pandangan, banyak maksud yang tersirat didalam bahasanya yang sarat dengan seribu makna dan sindiran. Mungkin juga ditujukan kepada mereka-mereka yang tidak senang dengan kehadirannya sebagai mufti paling muda di Malaysia.
Selama dua tahun memegang jawatan mufti, secara tidak sedar, Dr Asri mempunyai pengaruh yang kuat dalam mencorak pemikiran masyarakat Melayu dan pengamatan beliau tentang senario politik semasa.
Bertepatan dengan tajuk buku beliau yang baru sahaja diterbitkan bertajuk, "Mengemudi bahtera perubahan minda" (hasil himpunan koleksi artikel yang tersiar dalam kolum Pena Mufti) oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Dr Asri tidak pernah jemu menegur dan mengajar umat Islam termasuk ahli-ahli politik agar mengatasi kelemahan cara fikir, meninggalkan kejumudan, keterbabasan sikap dan mentaliti serta penyelewengan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Kelangsungan dan kelantangan beliau melontarkan idea dan pandangan bernas serta buah fikirannya yang tajam dan kritikal berdasarkan fakta dan ilmiah menjadikan pandangan Dr Asri tidak begitu disenangi oleh kebanyakkan tokoh agama dan Mufti-mufti dari negeri lain.
Sehinggakan ketidaksenangan ini mengundang satu sekatan ke peringkat tidak membenarkan Dr Asri memberi ceramah di beberapa negeri.
Tapi Dr Asri tidak mudah goyah dengan sikap dan persepsi kelompok sebegini, meskipun tokoh agama yang lebih berusia darinya.
Beliau juga tidak kisah digelar 'Mufti kontroversi' kerana di situlah kehebatan dan keistimewaannya yang sering dianggap sebagai 'pakar rujuk' oleh pengamal media, setiapkali ada isu-isu yang berkaitan agama dan hukum hakam.
Selama hampir satu jam temubual mStar Online di Taman Sri Ukay baru-baru ini, tokoh agama ini melontarkan pandangannya yang berani tanpa sempadan untuk kesekian kalinya.
Dalam lenggok bahasa yang sinis dan tegas disulam dengan jenaka yang pedas, Dr Asri masih tidak hilang bisanya meskipun tidak akan bergelar Mufti lagi.
Selami pemikiran tokoh agama, pensyarah, pemikir, penulis, kolumnis, penyair dan juga strategis ini dalam satu temubual ekslusif:
BOLEH KOMEN TENTANG KONTRAK MUFTI PERLIS YANG TERNYATA TIDAK MEMUASKAN HATI DR? DR TETAP DENGAN PENDIRIAN UNTUK BERHENTI MESKIPUN DIPUJUK. ADAKAH KERANA DR MERAJUK, BOSAN ATAU KERANA PRINSIP
Kontrak saya sepatutnya habis June 2009. Perancangan ke UK memang ada sejak awal, dua tahun lepas suda ada perancangan tapi dilewatkan berdasarkan kontrak.
Saya melihat keperluan untuk memegang jawatan itu dalam keadaan yang bermaruah. Saya tidak meminta sedekah untuk jawatan itu atau merayu untuk jawatan itu. Saya dahulunya dijemput untuk jawatan itu. Saya tidak mahu untuk kedua kalinya saya terpaksa mempertahankan jawatan saya. Saya rasa tidak perlu. Kalau itu berlaku, maka akan hilang kebebasan bersuara, sikap yang tidak berpihak dan itu tidak bermakna lagi saya memegang jawatan mufti.
ADAKAH DR PUAS HATI DENGAN TEMPOH DUA TAHUN SEBAGAI MUFTI PERLIS
Dari segi gerak kerja yang saya buat, saya boleh bersyukur. Dan memang kita patut bersyukur senantiasa. Sekurang-kurangnya tempoh itu berjaya. Berjaya buka minda banyak pihak. Kerja itu akan diteruskan tidak semestinya atas dasar platform Mufti Perlis.
ADAKAH AGENDA PERUBAHAN MINDA ITU MENCAPAI MATLAMAT? ATAU BELUM SELESAI
Perubahan minda itu telah berlaku. Alhamdulillah, pada peringkat awalnya, pada mulanya orang menjangka ianya satu kemustahilan. Dalam masa dua tahun, ianya berlaku dan diperkatakan di mana-mana. Ramai yang melihat agama dalam dimensi yang lebih luas.
Pihak konservatif terpaksa menyesuaikan diri pada arus persoalan. Saya pergi ke mana-manapun, saya berjumpa orang di kampung-kampung, di mana-mana negeri yang takada kaitan pun, berjumpa, salam dan menyatakan sokongan. Mereka rasa sangat gembira.
Dari sudut itu saya berjaya mencapai matlamatnya. Tapi untuk memastikan kelangsungan yang menyeluruh dan bukan sebagai slogan. Itu semua perlukan kerja yang lebih daripada seorang Mufti.
MAKSUD DR?
Maksudnya, saya mesti berfikir perancangan yang lain yang lebih besar daripada jawatan Mufti atau saya perlu pastikan banyak lagi Mufti yang begitu, agar perubahan boleh berlaku.
ADA YANG MENGANGGAP PEMERGIAN DR KE UK INI SEBAGAI SATU STRATEGI? DAN ADA YANG KATA DR MENDAPAT TAWARAN LUMAYAN SEKEMBALINYA DARI UK
Tawaran lumayan itu saya ingat, kita tutup dulu cerita itu....
TAPI DR TIDAK NAFIKAN?
Samada lumayan atau tidak, saya tidak melihat lumayan itu sebagai satu istilah dari segi gaji. Saya melihatnya dari segi tanggungjawab dan fungsi.
BAGAIMANA TAWARAN JAWATAN MENTERI?
Itu saya tidak boleh komen kerana perkara itu belum berada ada di depan mata.
ADAKAH TAWARAN KE ARAH ITU?
Tidak boleh dipastikan secara putus. Yang pentingnya ialah untuk seorang menjadi Menteri, dia kena melibatkan diri dengan politik. Dan saya di hari ini bukan ahli politik....
MUNGKINKAH SELEPAS 1 TAHUN KEMBALI?
Itu perkara di hadapan sukar untuk disebut tetapi seseorang membuat perancangan apa yang dirasakan mampu untuk menggerakkan perubahan minda rakyat dan ke arah kefahaman Islam yang lebih tepat dan lebih menyeluruh.
ADAKAH DR TERTARIK KE ARAH POLITIK?
Saya tidak boleh kata samada saya tertarik kepada politik ataupun tidak tetapi saya akan melihat apabila tiba masanya. Adakah penyertaan ke dalam politik ataupun tidak ke dalam politik itu boleh memberikan impak yang memadai ataupun nanti hanya akan mengorbankan segala pemikiran-pemikiran yang telah saya sebut dan cuba saya perjuangkangkan sebelum ini.
Itu satu perkara yang mesti untuk diimbangi senantiasa kerana politik ini...Pertama bila masuk politik orang akan melihat lihat sikap berpihak. Akan menyebabkan kita memihak sebahagian umat dan meninggalkan sebahagian umat yang lain. Itu harganya sangat besar dan kesannya sangat buruk jika sekirannya tidak di kawal. Di pihak yang lain, kalau sekiranya ada ruang itu, kita hendak kena ukur. Adakah sekadar memperolehi jawatan ataupun memang dapat meneruskan pandangan-pandangan agenda ataupun tidak?
Jika benar kita rasakan sesuai, kita kena fikir sejauh mana kita boleh bawa. Saya tak nak sekadar memenuhi kantung, tidak memberi apa-apa makna.
Kalau nak, ia mesti berjaya melaksanakan agenda.
TAPI DR PERNAH TERFIKIR KE ARAH ITU?
Saya berfikir banyak perkara termasuklah perkara itu.
KEMUNGKINANNYA MENJADI AHLI POLITIK?
Itu memerlukan satu kajian yang saya akan buat ketika itu nanti. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan perkara itu sesuai atau tidak.
ADAKAH DR PERLUKAN JAWATAN UNTUK MELONTARKAN PANDANGAN BILA BALIK NANTI?
Dalam kehidupan umat Islam ini, ada beberapa perkara pasal tokoh ini. Ada tokoh yang terkenal kerana jawatannya sedangkan dia itu bila dicabut jawatannya, maka he isnothing Ada orang tanpa jawatan, dia dianggap berwibawa. Ada orang, jawatan dan dia digabungkan sekali barulah kewibawaan itu nampak.
Bukan sedikit dalam sejarah pemikiran, munculnya ada tokoh-tokoh tidak mempunyai jawatan, mereka dianggap pemikir besar yang menjadi rujukan. Budaya ini mesti kita hidUpkan dalam masyarakat.
Cuma kita ada banyak tokoh agama, sebahagian pergi ke politik dan sebahagian ada kepentingan tertentu. Keadaan ini hilang. Wujudkan tokoh dengan kemampuannya sendiri dengan pemkirannya yang luas boleh berlaku dalam dunia Islam. Bahkan mufti-mufti yang tidak rasmi lebih terkenal dari mufti-mufti terkenal dalam dunia Islam.
Kita tak tahu mufti-mufti dalam negara ini tetapi tokoh-tokoh besar tak tahu apapun jawatannya tapi pemikirannya sangat besar.
Ini tidaklah bererti saya menolak jawatan. Saya hanya menegaskan bahawasanya hal itu boleh berlaku. Untuk menyampaikan kepada pemikiran, tetap boleh dilakukan kalau kena pada caranya.
Pemikiran ini dapat disebarkan bila seseorang tidak mempunyai jawatan. Memilikki jawatan dalam keadaan tertentu membantu seseorang dalam masyarakat. Yang perlukan jawatan kerana pihak-pihak berkuasa mengambilkira jawatan kerana dianggap authority mungkin perlu, tidak memadai sekadar pandangan.
JADI DR SENDIRI MELIHAT DR DALAM KATEGORI MANA?
Saya tak tahulah....Saya nak kena tengok dulu apa akan berlaku jika saya memberikan pandangan tanpa jawatan. Adakah pandangan itu masih lagi dianggap berharga, bernas atau telah tidak bernas kerana saya tidak ada jawatan.
Selama ini saya jadi mufti, saya rasa banyak pandangan saya banyak berbeza dari orang lain, kalau dari sudut popular, ianya tidak boleh popular kerana berbeza dengan banyak tokoh-tokoh agama di Malaysia.
Alhamdulillah, pandangan saya yang bernas itu senantiasa dapat diketengahkan dan dibincangkan, dilihat asas-asas pandangan dan banyak pandangan saya yang ditentang pada peringkat awalnya kemudiannya diterima sebagai pendapat umum dan dibincangkan di peringkat negara.
Walaupun masih ada yang kontra tapi masih ada yang boleh menerima.
DR DIANGGAP 'A THREAT' PADA MUFTI-MUFTI LAIN? ADAKAH DR RASA TIDAK SELESA DENGAN SITUASI INI ATAU TIDAK KISAH?
Saya tidak kisah hal ini sebab kalau saya ingat memegang jawatan Mufti dalam keadaan selesa saya kenalah mencari keselesaan, ada kereta rasmi, tak payah beri pandangan, buat berserabut kepala. Saya tidak pilih itu.
Saya turun ke kampung, berjumpa berbagai lapisan, golongan cerdik pandai, terangkan apa yang kita bawa...menunjukkan ini bukan satu perjuangan untuk senang. Perjuangan untuk sampaikan mesej. Alhamdulillah ada perbezaan dengan banyak pihak tapi dari segi rakyat, mereka boleh menerima.
ADA NEGERI YANG TIDAK BENARKAN DR MASUK BAGI CERAMAH. BOLEH KOMEN?
Di Malaysia semua negeri saya boleh masuk. Saya boleh masuk, tapi tidak dibenarkan bagi ceramah dalam platform-platform yang mereka ini ada kuasa.
Pada masyarakat tempatan di negeri tertentu, beribu ramai yang datang nak dengar saya berucap. Tapi saya tidak hadir disebabkan pihak agama yang rasa kehadiran saya akan menggugat pandangan-pandangan yang mereka berikan atau takut saya akan mengkritik pengurusan agama sebab itu mereka tidak benarkan.
DR PERNAH DILABEL SEBAGAI PENCERAMAH UMNO DAN KADANGKALA PENYOKONG PAS
Kita kena memecahkan cara berfikir rakyat Malaysia ni. Mereka senantiasa menjangka dalam dunia ini haya ada dua warna saja - hitam atau putih, kuning ataupun biru - salah satu.
Manusia mesti boleh berfikir di luar daripada keterikatan ini. Apabila saya memberi pandangan yang berbeza dengan Umno, tidak bermakna saya berpihak pada pembangkang. Dan apabila saya mengkritik PAS, ini bukan bermakna saya mewakili Umno.
Ini perkara yang gagal difahami sehingga kita senantiasa mempunyai pengampu dan orang-orang yang takut berfikir di luar dari kotak ini.
Kritikan boleh diberikan kepada rakan kalau dia salah. Pada mulanya Umno terkejut, PAS terkejut. Tapi sekarang sudah ada orang mula berfikiran di luar keterikatan ini. Kenapa harus dihadkan segala kutukan untuk musuh kita, segala pujian pada kawan kita? Tidak semestinya. Segala kritikan boleh ditujukan pada kawan kalau dia salah.
Dan pujian pada musuh kita kalau dia berbuat sesuatu yang elok dari segi moral. Ini tidak mustahil tapi ini tidak dikenali oleh dunia yang telah memblog-blogkan manusia di atas nama parti-parti politik. Pemilihan politik Malaysia sepatutnya sama macam di Amerika.
DR MEMPUNYAI HUBUNGAN YANG BAIK DENGAN RAMAI VIP, KOMEN DR?
Saya ada hubungan baik dengan Perdana Menteri, menteri-menteri juga dengan pemimpin pembangkang. Tetapi ini tidak menghalang saya memberi pandangan.
Saya tidak mengutuk anda tetapi saya berhak memberi pandangan yang berbeza dengan anda. Saya bukan dibayar gaji untuk pengampu dan ini tidak seharusnya berlaku.
RATA-RATA APAKAH RESPON DARI ORANG RAMAI APABILA MEREKA MENDENGAR DR AKAN LEPASKAN JAWATAN MUFTI PERLIS
Ada yang tanya kenapa nak berhenti, tak sesuai ke? Tapi saya bersungguh dalam hal ini. Raja Perlis minta saya tunggu dulu sehingga saya pergi ke UK.
Saya merasa di saat ini, waktu saya keluar dari jawatan Mufti ini 'timing' yang betul. Disebabkan pergolakan yang berlaku di Perlis itu sendiri, keadaan politik di sana juga situasi politik Malaysia yang sekan-akan mencari arah.
Elok saya dedahkan diri di dunia Barat yang mana saya belum ada pengalaman ini, mengambil nafas baru, ambil pengalaman baru yang boleh dikongsi, yang boleh dianalisa, pembacaan dan research.
APAKAH PERGOLAKAN YANG DIMAKSUDKAN ITU?
Kita tahu Perlis selepas pilihanraya agak pelbagai-bagai...Masih lagi desus desas, berbunyi itu dan ini yang tak habis-habis....
HARAPAN PADA PENGGANTI MUFTI PERLIS
Saya harap supaya, bukan saja jawatan Mufti Perlis. Apa saja jawatan. Mufti bukan untuk jawatan untuk keselesaan. Kita dapat sampaikan tanggung jawab dan sampaikan risalah yang betul. Ini penting. Kalau kita fikir sekadar nak kerja dan ada gaji, ini akan memandulkan peranan kita sebagai Mufti.
PANDANGAN DR TENTANG KEBERKESANAN PERANAN MUFTI-MUFTI LAIN
Saya tidak tahu adakah peranan mereka dah berjaya atau tidak..... tapi rakyat, orang awam berhak menilai. Adakah Mufti-mufti mereka telah mainkan peranan atau masih perlukan memainkan peranan yang lebih?
BOLEH DR KOMEN KEBERKESANAN PERANAN JAKIM, JAIS DAN JABATAN AGAMA LAIN SETAKAT INI, ADAKAH SUDAH MEMADAI?
Saya bagi pandangan berbagai-bagai dan mengkritik juga beberapa tindakan Mahkamah Syariah mengenai hak-hak wanita. Masih ada lagi kekurangan ataupun isu-isu tertangguh yang tidak sepatutnya. Walaupun pandangan itu kurang selesa.
Jika kita tengok aktiviti JAKIM, apa saja aktiviti akan mengelakkan penglibatan saya, melainkan perkara yang tidak boleh tidak, melibatkan saya. Kita tahu mereka ada banyak panel berhubung dengan agama, Pengarah JAKIM tidak akan melibatkan saya walaupun Mufti-mufti lain terlibat.
Mungkin mereka merasa kurang selesa dengan pandangan-pandangan saya. Dan kebiasaan golongan agama ini, dia pantang dikritik. Saya pernah memberikan teguran kepada Pengarah JAKIM sendiri tentang sikap double standardnya walaupun sikap itu tidak mendukacitakan saya pun.
Tetapi hakikatnya jika mereka bersikap demikian, satu hari nanti jika mereka tidak berubah, mereka akan diubah.
ANTARA SUNGUTAN ORANG RAMAI, TIDAK ADA KESERAGAMAN DALAM SESUATU ISU AGAMA DAN MAJLIS FATWA JUGA LAMBAT MEMBUAT SESUATU KEPUTUSAN? TAPI DR SELALU MELONTAR PANDANGAN YANG CEPAT DAN BOLEH DITERIMA RAMAI
Alhamdulillah, antara perkara Allah kurniakan saya ialah pandangan yang dilontarkan, akan tertumpu pada pandangan itu. Pandangan itu akan menjadi panas. Ramai yang menilai pandangan itu secara serius walaupun ada yang pro dan kontra.
Mungkin juga rakyat Malaysia sudah sampai satu pendidikan yang agak baik. Tak nak lagi pandangan you beri, I ikut. Ini tak boleh, ini boleh. Ini haram ini halal. Mereka nak alasan, apa kemunasabahan, apa fakta disebaliknya.
Saya sentiasa tidak lupa melampirkan alasan-alasan pandangan. Saya membiasakan rakyat supaya mereka celik agama dan tidak hanya menjadi pengikut tanpa mengetahui apa yang mereka ikut.
PANDANGAN DR TENTANG MAJLIS FATWA KEBANGSAAN
Saya mempunyai kesimpulan yang saya 'simpan' untuk Majlis Fatwa ini. Jika negara ini hendak diubah, kita perlu lihat juga kesungguhan Majlis Fatwa. Sukar untuk simpulkan.
Saya cadangkan Mesyuarat Majlis Fatwa disiarkan pada orang ramai melalui siaran TV. Rakyat tak tahu selama ini....Biar rakyat menilainya sendiri bagaimana sesuatu isu itu dibincang dan ketelusannya.
Nak tengok sejauhmana isu itu dibincangkan dengan masak atau tidak atau dibincangkan dengan penuh ketelusan ataupun tidak sekadar melepaskan tuntutan atau kebisingan orang ramai.
Pengerusi Majlis Fatwa juga perlu dinilai kemunasabahan untuk terus berada di jawatan berkenaan.
Saya tidak mahu membuat penilaian keputusan itu positif atau negatif. Kita akan beri hak itu pada rakyat jika mesyuarat fatwa itu disiarkan.
DR MOHD ASRI BERSAMA RAKAN-RAKANNYA, NIK MD YUSOF (KIRI) DAN SAFUAN JEFRI
PADA PANDANGAN DR, APA YANG MENYEBABKAN SESUATU FATWA ITU LAMBAT DIKELUARKAN CONTOHNYA ISU YOGA
Saya tidak mahu menyebut, ada perkara-perkara yang luarbiasa. Tidak boleh ada dalam pemikiran orang yang ingin memberi fatwa, sebelum memberi fatwa, "Adakah hal ini diredhai oleh pihak-pihak tertentu atau tidak?".
Mereka hendaklah berfikir fatwa berteraskan fakta dan ilmu dan bukan berteraskan, kehendak dan keredhaan dari pihak-pihak tertentu. Kalau itu boleh dilakukan, maka perbincangan itu hendaklah ilmiah dan mantap. Rakyat patut diberi peluang melihat bagaimana proses mereka melakukan ini.
MUNGKINKAH ADA SUARA LAIN YANG DAPAT MENGGANTIKAN DR BILA DR KE UK NANTI
Tidak dapat pastikan tempat saya akan terisi atau tidak. Setengah pihak lega saya tidak jadi mufti lagi. Kita lihat mungkin ada orang lain akan juga berikan pandangan. Perubahan terus akan ada, rakyatlah yang akan nilainya.
BAGAIMANA DENGAN KESINAMBUNGAN MEMANTAU AGENDA PERUBAHAN MINDA YANG DR USAHAKAN SELAMA INI?
Ribuan bantahan yang dihantar kerana saya hendak berhenti. Tidak puas hati dinyatakan oleh berbagai individu dan persatuan bahawa kata tindakan saya silap. Rasanya tindakan saya melepaskan jawatan Mufti itu tidak silap.
Bila ada isu, mereka semua ini menunggu pandangan saya tentang isu ini. Insya Allah, tindakan saya tidak silap.
Saya sendiri tidak tinggalkan negara ini begitu saja kerana jentera perubahan minda senantiasa bergerak aktif di pelbagai-bagai peringkat. Saya bekerja ke arah itu. Saya juga ada laman website saya, drmaza.com. Kedua, saya harapkan media masih berikan ruang untuk saya melontarkan pandangan.
Ketika saya jadi Mufti Perlis, saya gunakan jawatan itu untuk sampaikan mesej. Dalam kedudukan saya sekarang, sama seperti dulu.
Saya berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Ada kerja rasmi dan kerja asal saya. Mungkin di UK, saya dapat rehat sikit, itupun di sana kelihatnnya rakyat Malaysia telah menyusun banyak program untuk saya hadir.
Rakyat Malaysia di seluruh dunia dari negara-negara barat menghantar emel mengikuti perkembangan saya. Mungkin itu kesan dari apa yang saya buat kerana mereka tahu aktiviti saya. Mereka mengharapkan pandangan-pandangan dari saya.
KOMEN DR TENTANG GELARAN 'MUFTI KONTROVERSI
Kontroversi mungkin kerana perkara-perkara itu dilontarkan di tengah media. Tetapi biasanya, media tidak akan kutip kalau tidak kontroversi.
Elemen kontroversi itu kadang-kadang perlu supaya berita itu dapat diedarkan. Kadang-kadang bila saya wujudkan sesuatu berita itu, saya 'create'kan sedikit elemen supaya sekurang-kurangnya mesej itu dapat dibaca kalau tidak siapapun tidak kutip.
Itu salah satu dari strategi dalam kita sebarkan pemikiran. Itu juga barangkali perlu dibaca oleh ahli-ahli pemikiran - mesti tahu apakah saluran suatu pemikiran itu naik ke hadapan.
ADAKAH DR MELIHAT DIRI DR SEBAGAI SEORANG STRATEGIS?
Saya tak tahu...saya satu orang yang banyak memikirkannya..strategi sesuatu tindakan. Dalam dua tahun itu kebanyakan strategi itu berjalan dengan baik.
Ketika saya dikepung dengan kepungan yang agak dasyat oleh pihak agama tertentu, saya melepasi kepungan itu, Alhamdulillah.
SELEPAS SEKEMBALI NANTI, APAKAH PROFESION PILIHAN DR?
Orang melihat saya sebagai apa? Saya melihat diri saya sebagai Mohd Asri....
Saya akan maklumkan kemudian. Ramai ahli politik yang ramalkan tarikh-tarikh tertentu, akhirnya tarikhnya pun tak menjadi.
Jadi, buat apa saya meramalkan satu tarikh ataupun perancangan akhirnya tak jadi, menjadi satu tempelak orang ramai saja.