Showing posts with label Family. Show all posts
Showing posts with label Family. Show all posts

Thursday, September 16, 2010

Syawal 1431 - Tahun-tahun Berbeda

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalammualaikum w.b.t
  
Salam Aidilfitri.

Terasa lewat untuk menuturkan ungkapan maaf serta salam aidilfitri. 16 September hari ke-7 bulan Syawal juga pada tarikh ini 47 tahun yang lalu menukil sejarah penggabungan Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi Persekutuan Malaysia.Sejarah yang hanya mampu kita baca dalam titipan akhbar dan helaian nota sejarah. Selamat menyambut Hari Malaysia.

Pena kali ini bukanlah isinya sejarah penggabungan Malaysia. Lupakan seketika berkenaan itu.

Tahun ke 22 menyambut sinar lebaran. Bukan lagi muda. Memori sambutan aidilfitri sejak tahun pertama mula diri ini dapat mengenal dan mengingat hingga la ke tahun ke 22 ini akan aku hayati sebaiknya. Suasana, kemeriahan, individu, tentulah berbeda tahun demi tahun. 

Ramainya insan, berkurang dan bertambah. Yang berusia pergi, yang baru lahir mengisi duka. Begitulah norma hidup. Titisan air mata pengubat tawa dan duka.

Tatkala hati mekar menyambut Syawal, sudut kecil hati remuk redam mengimbau detik-detik lalu. Sedar semuanya suda berbeda, perayaan zaman kanak-kanak yang penuh kemeriahan, perayaan zaman meningkat yang penuh keseronokan. Hijau sampul yang ditunggu pasti berisi not-not wang yang kuingin dan tiba-tiba syiling yang kurang digemari. Namun lantas kusyukuri kerna cukup juga untukku memiliki apa yang aku hajati dengan wang itu.

Perjalanan perayaan zaman kanak-kanak paling digemari, bersama sahabat mengatur langkah dari rumah ke rumah seawal pagi. Rumah bagaikan tiada sempadan, samada kenal atau tidak pemiliknya, kami jejakkan juga kaki. Sesi-sesi perkenalan dengan tuan rumah amat mengasyikkan. Banyak mengajarku cara berkomunikasi. Setelah lenguh kaki dan berpeluh kami menderapkan kami pulang. Perkara yang sudah pasti anda jua lalui adalah membanding-bandingkan jumlah duit raya. Tersenyum hati mengenangkan. Kadang-kadang jumlah berbeza meskipun kaki ke rumah yang sama. Mulalah sama-sama memikir dan berseribu andaian. Kanak-kanak, memang suka akan telahan.Rindunya.

Zaman matang, usia 22. Insan-insan yang membuatkan kubisa ketawa sudah susut bilangannya. Sahabat-sahabat ketika zaman kecil sudah jauh. Hening pagi syawal berubah. Tiba masa giliran aku melayani kerenah kanak-kanak, makan, minum, duit raya. Seawal pagi sebelum solat sunat Aidilfitri sudah menyerang kediamanku. Kelakar kurasa dihati. Ada yang hanya berdiri di depan pintu tunggu sampul hijau tanpa masuk rumah. Ku tunaikan hajat kanak-kanak ini. Kanak-kanak dulu dan kini sama tapi berbeza.

Solat Sunat Aidilfitri. Jemaah bersurai selesai sahaja solat. Bersalam-salaman diperkarangan masjid cukup mensyahdukan. Ku tatap wajah-wajah dulu kecil bersama, dewasa ini ada yang sudah punya keluarga dan anak. Ada yang sudah berkumis dan berjambang. Ada yang tidak pernah berubah dengan kelaku dahulu. Ada yang langsung sudah tidak dapat kucam. Masing-masing senyum mengenangkan penghidupan kini.

Dari masjid digagahi ke tanah perkuburan. Sayup hati. Makin menyempit tanah ini. Insan-insan yang dulunya pernah kukenali ramai yang mendiami kawasan ini. Tanah ini menempatkan arwah datukku serta saudara maraku. Bersama keluarga kudoakan agar roh-roh mereka akan merasa nikmat syurga.ameen.

Langkah seterusnya menghala ke rumah.Melayani tetamu, saudara-mara, adin-beradik serta tetangga. Penuh sederhana sambutan tahun ini. Syukur.

Kesempatan umur ini, kepada semua saudara-mara serta sahabat yang mengenali  Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin daripada saya serta keluarga. Andainya diri ini punya salah silap,tempang bicara yang mengguris hati, minta diampunkan. Andai diri ini termakan,terminum dan punya hutang sedikit cuma dengan sahabat-sehabat, minta dihalalkan. Diri ini insan yang tidak pernah sempurna.

Selamat maju jaya juga kepada semua yang sedang menunggu keputusan peperiksaan. Doakan semua peroleh natijah yang setimpal usaha.amin.

sekian.
wassalam



Monday, June 21, 2010

Abah

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalammualaikum w.b.t


Salam Hari Abah.


Sudah terlewat sehari. Kenapa Hari Bapa hanya hadir satu hari dalam 365 hari? Sangat tidak adil. Abah kita berkorban setiap hari untuk kita. Everyday is Father's Day.


 Abah Penyokong Kuat Pasukan Bola Sepak Kedah.


Sudah tentu abah kecil hati, terasa, sebab post untuk Hari Bapa lewat sehari. Kenapa kita tidak sebut Selamat Hari Abah ? ataupun Hari Abi, Hari Abuya (khas untuk Ubai sekeluarga) - Bukankah bunyinya lebih sweet. Seakan kalau boleh dibayangkan hubungan dengan abah kita lebih rapat dan manja. Jika disebut bapa, bapa bunyinya keras, seakan bapa tu garang dan bossy. Ermm..terfikir tak? Mungkin sahabat lain ada pandangan lain, mungkin saya terlebih prejudis terhadap kata panggilan 'bapa'.


Selamat Hari Bapa diucapkan kepada abah saya, En. Pauzin B. Kadir. 


Umur abah saya bukanlah muda. Lahir tahun 1962. Beza umur dengan mak saya 7 tahun. Lazimnya bagi keluarga lain, mak muda daripada abah, tapi keluarga saya berbeza abah saya muda 7 tahun daripada mak saya. erm.. SWEET kan?? Siapa yang ada pasangan pilihan yang lebih tua daripada diri sendiri tu bolehlah cepat-cepat masuk meminang. 

Apa istimewa abah saya ni? Abah saya seorang yang happy go lucky, penyabar. Susah benar nak dengar abah saya marah. Tapi bila gunung berapi dah meletus semua senyap. haha..takut!! Yalah sebab tak pernah kena marah bila abah naik angin 4 5 bulan sekali terkaget kaku kami 3 beradik.

Yang paling menarik, abah saya dikurniakan darjah kebesaran daripada Yang Berbahagia Puan Rubiah (mak saya) - Pingat PJK. PJK - singkatan bagi PERUT JAUH KEDEPAN. Fahamkan?? haha.. :D Abah saya baru dapat pingat PJK tahun lepas. Mak saya pernah sebut '' Dulu masa mula kahwin pinggang abah 29 cm je , sekarang ni dah 44 cm, senang hati selalu kot '' so sweet of you mak.


 Abah dan Mak bersama Y.B Nasir Zakaria, Adun Kubang Rotan.
(Y.B Nasir hadir untuk sembelih lembu semasa walimatulurus adik perempuan saya )

Istimewanya abah saya, abah sangat berminat dan berbakat dalam seni. Melukis, fotografi, videografi dan ada beberapa seni pelik. Tidak dapat saya sebut. Masa sekolah rendah dan menengah, kalau ada kerja sekolah berkaitan seni, abah sayalah insan yang akan bagi idea nak lukis apa, nak cat warna apa, perspektifnya bagaimana, tona warna perlu harmoni ke tidak, sampai kadang-kadang kerja seni saya memang sepenuhnya hasil kerja tangan abah saya. Saya bukan tidak ada bakat, haha, ada, tapi saya selalunya berkehendakkan suatu hasil yang sempurna.

Kalaulah ada Anugerah Penglipur Lara Terbaik, saya akan anugerahkan kepada abah saya. Abah saya memang suka bercerita. Kisah-kisah yang disampaikan semuanya berkaitan kami sekeluarga dan sejarah. Abah seorang yang sentimental, suka mengimbau kenangan lalu. Lazimnya abah akan bercerita di dalam kereta sepanjang perjalanan dari rumah kami ke kampung (Gopeng, Perak atau Kuala Nerang, Kedah). Abah sukakan suasana yang nyaman, ada pepohon, tidak sukakan kesesakan. Jadi selalunya perjalanan pulang ke Gopeng Perak kami akan gunakan jalan lama. Melalui batang jalan yang berpohon, melihat rumah-rumah kampung ditebing jalan kami sambil mulut abah bercerita tentang sejarah-sejarah lama tentang hidup kami ataupun hidup abah sendiri. Jadi saya akan duduk dibahagian depan dan mak duduk di tempat duduk belakang sebab mak saya sudah jelak mendengar cerita-cerita abah. hahahaha. Abah, abang balik nanti kita balik kampung ya? Sudah lama tak dengar cerita abah.


Gambar ni abah saya send guna MMS kepada saya di Mesir - Tajuk gambar   3 BOTAK

Abah sebagai kawan saya. Saya suka politik, jadi saya selalu berbual berkenaan politik dengan abah. Man to Man Talk. It's really really great. Rasa macam diri dihargai. sweet of you abah. 
Kawan saya kawan abah juga. Haha..Part ni sangat menarik. Abah sangat peramah dengan sahabat-sahabat saya. Abah saya tidak keberatan hendak keluar minum dengan sahabat saya meskipun tanpa saya (saya kat Mesir), berbual di kedai kopi, berlawak dan kongsi hobi videografi bersama sahabat saya.

Sudah tentu kehidupan begitu dapat dilalui kerana abah membesar sebagai anak desa, anak desa yang tidak punya banyak protokol dan etiket sosial dalam hidup.Hidup susah sebelum senang.

Impian abah, bila anak-anak dah bekeluarga, abah nak balik hidup di kampung bersama mak. Sebab tenang.

Abah suka menyanyi. Suara abah memang sedap. Tapi abah suka berkaraoke  ketika larut malam. Masa semua orang sudah tidur. Abah suka nyanyi lagu "Krooohhhh, Krooohhhh ~~~'' haha.. Nyanyian dengkur. Bahayalah abah, it is a fact that 20% of world population has possibility to face stroke due to snoring during sleep (sleep apnea). Selalulah jogging ya. Got to lose your weight . Me too!!! Aduyaii..

Sejak tingkatan 4, saya belajar di asrama penuh - MRSM Taiping kemudian KMNS dan kini Universiti Mansoura. Jadi saya jarang berada dirumah kecuali ketika cuti panjang. Abah saya ada satu habit yang melekat sampai sekarang, abah saya suka kacau saya semasa saya sedang tidur. Bila saya sudah tidur nyenyak waktu malam, abah saya yang selalunya baru pulang dari kerja (outstation) akan datang dan tidur sebelah saya dan  abah akan kepit kepala saya dibawah ketiak beliau. adoii..mula-mula memang tensi, tapi lama-kelamaan sudah biasa. Abah, abah ~

Kalau hendak cerita pasal abah memang tidak akan habis. Banyak sangat perkara yang boleh dinukilkan tentang abah. Namun ini sahaja dapat saya ceritakan dalam coretan ini. Saya berbangga memiliki abah. Abah, meskipun kita tidak kaya seperti Donald Trump, Syed Mokhtar dan ahli-ahli poltitik di Malaysia, namun kehidupan keluarga kita bahagia. Rezeki daripada gaji abah dan mak sudah cukup untuk mendidik anak-anak abah ini untuk menjalani kehidupan penuh bermakna. Bermakna kerana kami punya asas yang selesa dalam menjalani masa depan.


 Kami Sekeluarga - Semasa Majlis Persandingan Adik Perempuan Saya

Abah, abang rasa abang tidak mampu untuk berkorban sebagaimana pengorbanan yang abah lakukan untuk abang. Meskipun abang bukanlah darah daging abah tapi kasihmu abah tidak pernah berbelah bagi. Terima Kasih. Jarang sekali kalimah Terima Kasih abang ungkapkan. Maafkan abang. Abang selalu leka dengan hidup abang hingga kadang-kadang terabai amanah abang terhadap mak dan abah.

Abah, tiada siapa yang sempurna, tapi hadirnya kita 5 sekeluarga menyempurnakan keluarga kita.
Semoga penghidupan kita sentiasa diberkati.


Sekian, 
Wassalam