Thursday, September 16, 2010

Syawal 1431 - Tahun-tahun Berbeda

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalammualaikum w.b.t
  
Salam Aidilfitri.

Terasa lewat untuk menuturkan ungkapan maaf serta salam aidilfitri. 16 September hari ke-7 bulan Syawal juga pada tarikh ini 47 tahun yang lalu menukil sejarah penggabungan Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi Persekutuan Malaysia.Sejarah yang hanya mampu kita baca dalam titipan akhbar dan helaian nota sejarah. Selamat menyambut Hari Malaysia.

Pena kali ini bukanlah isinya sejarah penggabungan Malaysia. Lupakan seketika berkenaan itu.

Tahun ke 22 menyambut sinar lebaran. Bukan lagi muda. Memori sambutan aidilfitri sejak tahun pertama mula diri ini dapat mengenal dan mengingat hingga la ke tahun ke 22 ini akan aku hayati sebaiknya. Suasana, kemeriahan, individu, tentulah berbeda tahun demi tahun. 

Ramainya insan, berkurang dan bertambah. Yang berusia pergi, yang baru lahir mengisi duka. Begitulah norma hidup. Titisan air mata pengubat tawa dan duka.

Tatkala hati mekar menyambut Syawal, sudut kecil hati remuk redam mengimbau detik-detik lalu. Sedar semuanya suda berbeda, perayaan zaman kanak-kanak yang penuh kemeriahan, perayaan zaman meningkat yang penuh keseronokan. Hijau sampul yang ditunggu pasti berisi not-not wang yang kuingin dan tiba-tiba syiling yang kurang digemari. Namun lantas kusyukuri kerna cukup juga untukku memiliki apa yang aku hajati dengan wang itu.

Perjalanan perayaan zaman kanak-kanak paling digemari, bersama sahabat mengatur langkah dari rumah ke rumah seawal pagi. Rumah bagaikan tiada sempadan, samada kenal atau tidak pemiliknya, kami jejakkan juga kaki. Sesi-sesi perkenalan dengan tuan rumah amat mengasyikkan. Banyak mengajarku cara berkomunikasi. Setelah lenguh kaki dan berpeluh kami menderapkan kami pulang. Perkara yang sudah pasti anda jua lalui adalah membanding-bandingkan jumlah duit raya. Tersenyum hati mengenangkan. Kadang-kadang jumlah berbeza meskipun kaki ke rumah yang sama. Mulalah sama-sama memikir dan berseribu andaian. Kanak-kanak, memang suka akan telahan.Rindunya.

Zaman matang, usia 22. Insan-insan yang membuatkan kubisa ketawa sudah susut bilangannya. Sahabat-sahabat ketika zaman kecil sudah jauh. Hening pagi syawal berubah. Tiba masa giliran aku melayani kerenah kanak-kanak, makan, minum, duit raya. Seawal pagi sebelum solat sunat Aidilfitri sudah menyerang kediamanku. Kelakar kurasa dihati. Ada yang hanya berdiri di depan pintu tunggu sampul hijau tanpa masuk rumah. Ku tunaikan hajat kanak-kanak ini. Kanak-kanak dulu dan kini sama tapi berbeza.

Solat Sunat Aidilfitri. Jemaah bersurai selesai sahaja solat. Bersalam-salaman diperkarangan masjid cukup mensyahdukan. Ku tatap wajah-wajah dulu kecil bersama, dewasa ini ada yang sudah punya keluarga dan anak. Ada yang sudah berkumis dan berjambang. Ada yang tidak pernah berubah dengan kelaku dahulu. Ada yang langsung sudah tidak dapat kucam. Masing-masing senyum mengenangkan penghidupan kini.

Dari masjid digagahi ke tanah perkuburan. Sayup hati. Makin menyempit tanah ini. Insan-insan yang dulunya pernah kukenali ramai yang mendiami kawasan ini. Tanah ini menempatkan arwah datukku serta saudara maraku. Bersama keluarga kudoakan agar roh-roh mereka akan merasa nikmat syurga.ameen.

Langkah seterusnya menghala ke rumah.Melayani tetamu, saudara-mara, adin-beradik serta tetangga. Penuh sederhana sambutan tahun ini. Syukur.

Kesempatan umur ini, kepada semua saudara-mara serta sahabat yang mengenali  Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin daripada saya serta keluarga. Andainya diri ini punya salah silap,tempang bicara yang mengguris hati, minta diampunkan. Andai diri ini termakan,terminum dan punya hutang sedikit cuma dengan sahabat-sehabat, minta dihalalkan. Diri ini insan yang tidak pernah sempurna.

Selamat maju jaya juga kepada semua yang sedang menunggu keputusan peperiksaan. Doakan semua peroleh natijah yang setimpal usaha.amin.

sekian.
wassalam



3 comments:

Muhammad Ar-Rabi' said...

rumah aku??

dr.Asyraf said...

salam
rabe'
apakah yang kamu maksudkan dengan 'rumah aku?'
aku masih kurang mengerti akan maksudnya..

Muhammad Ar-Rabi' said...

bila nak gi umah aku ler...